Wednesday, June 17, 2009

Membeli Rumah Impian Anda


Anda telah membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah. Ini adalah satu langkah yang baik, tetapi terdapat banyak faktor yang perlu anda pertimbangkan sebelum membuat keputusan tentang jenis rumah yang ingin dibeli. Berikut adalah beberapa cadangan yang mungkin boleh anda pertimbangkan bagi memastikan pengalaman membeli rumah anda berjalan lancar.

Setiap orang mempunyai idea rumah impiannya tersendiri tetapi peraturan pertama yang perlu dipertimbangkan ialah anda perlu membeli rumah mengikut kemampuan sendiri. Ini bagi mengelakkan anda daripada terjerumus ke dalam kancah kewangan yang teruk. Anda dinasihatkan supaya membuat belanjawan berdasarkan jumlah yang anda boleh keluarkan daripada simpanan peribadi anda sebagai bayaran pendahuluan dan jumlah yang anda mampu bagi bayaran bulanan pinjaman perumahan. Jangan lupa untuk memasukkan sekali jumlah yang boleh anda keluarkan daripada simpanan KWSP untuk tujuan ini. Untuk pengetahuan anda, setahun selepas anda membuat pengeluaran perumahan yang pertama, anda dibenarkan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun II simpanan KWSP anda untuk mengurangkan pinjaman perumahan anda pada setiap tahun.

Selain daripada bayaran pendahuluan, anda juga perlu membayar yuran guaman dan yuran setem untuk Perjanjian Jual Beli serta Perjanjian Pinjaman Perumahan. Ini akan membebankan jika anda tidak membuat peruntukan kewangan yang mencukupi.

Apabila anda telah menetapkan belanjawan, anda boleh mula mencari rumah idaman anda. Lokasi adalah faktor yang sangat penting untuk dipertimbangkan. Jika anda bercadang untuk tinggal di sesebuah rumah untuk jangkamasa panjang, pastikan anda mencari lokasi yang selesa. Tetapi, jika anda membeli rumah untuk tujuan pelaburan, lokasi di mana nilai hartanah boleh meningkat dengan cepat merupakan faktor yang patut dipertimbangkan.

Anda mempunyai pilihan samada untuk membeli rumah yang baru daripada pemaju atau membeli rumah yang telah siap daripada pemiliknya.

Barangkali, membeli rumah yang baru lebih diidamkan oleh kebanyakan orang memandangkan harganya yang lebih rendah daripada rumah yang telah siap tetapi anda perlu menunggu sehingga dua tahun sebelum rumah tersebut siap dibina. Di dalam tempoh tersebut, anda juga perlu membayar faedah ke atas pinjaman anda pada setiap bulan sehingga keseluruhan pinjaman anda dikeluarkan (apabila rumah baru anda siap dibina). Sebaliknya, anda tidak perlu menunggu begitu lama jika membeli rumah yang telah siap tetapi anda mungkin perlu membuat sedikit peruntukan kewangan untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Untuk perhatian anda, simpanan KWSP tidak boleh digunakan untuk membayar kos membaiki dan mengubahsuai rumah.

Namun, anda mungkin tidak dapat mencari rumah idaman anda yang bersesuaian dengan peruntukan belanjawan anda dan menangguhkan keputusan anda supaya anda dapat menyimpan lebih banyak wang (dari anda sendiri atau melalui KWSP). Semua ini terpulang kepada anda tetapi anda perlu mempertimbangkan faktor kenaikan harga rumah.

Sebagai alternatif, anda boleh membeli dahulu rumah yang anda mampu dan menjualnya kemudian. Pulangan daripada jualan tersebut boleh digunakan untuk membeli rumah impian anda. Untuk perhatian anda, KWSP membenarkan ahli-ahlinya untuk membeli rumah kedua, dengan syarat anda telah menjual rumah pertama.

2 comments:

cza said...

tq bagi panduan..amat berguna!

serundingkelantan said...

sama-sama my friend. just want to share with you all..