Thursday, June 11, 2009

KWSP CATAT PENDAPATAN PELABURAN RM3.26 BILION PADA S1 2009



Thursday 11/06/2009

Kelembapan Ekonomi Jejaskan Pulangan Pelaburan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan yang belum diaudit sebanyak RM3.26 bilion pada suku tahun pertama 2009 (S1 2009), menurun 10.47 peratus berbanding RM3.64 bilion pada suku tahun keempat 2008 (S4 2008).

Penurunan jumlah pendapatan pelaburan pada suku tahun yang diulas adalah disebabkan oleh pulangan pelaburan yang menurun daripada instrumen berpendapatan tetap dan ekuiti.

Penyumbang tertinggi kepada pendapatan KWSP pada S1 2009 ialah Pinjaman dan Bon yang mencatatkan pulangan sebanyak RM1.78 bilion, merosot 2.15 peratus berbanding RM1.82 bilion pada S4 2008. Setakat 31 Mac 2009, 36.81 peratus daripada Pinjaman dan Bon dilaburkan dalam syarikat dengan penarafan kredit AAA dan 49.97 peratus dilaburkan dalam syarikat dengan penarafan AA.

Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) merupakan penyumbang pendapatan kedua tertinggi pada S1 2009 dengan pulangan sebanyak RM1.11 bilion, merosot 13.23 peratus daripada RM1.28 bilion yang diperoleh pada S4 2008.

“Walaupun pulangan daripada Pinjaman dan Bon dan SKM menurun pada suku tahun pertama ini, KWSP akan terus melabur dalam instrumen tersebut kerana ia menyumbang kepada pengekalan modal dan perolehan pendapatan yang stabil, bersesuaian dengan mandat pelaburan KWSP yang mengutamakan instrumen berisiko rendah,” kata Tan Sri Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Pada S1 2009, Ekuiti menyumbang sebanyak RM223.83 juta selepas peruntukan rosot nilai pelaburan berikutan kemerosotan harga pasaran ekuiti, berbanding RM342.54 juta pada S4 2008.

KWSP terus melabur dalam saham-saham mewah dengan tumpuan utama kepada dua sektor. Daripada jumlah pelaburan dalam pasaran Ekuiti, 37.43 peratus dilaburkan dalam sektor Dagangan dan Perkhidmatan sementara 33.93 peratus dalam sektor seperti Kewangan. Pelaburan kurang daripada 10 peratus dibuat dalam sektor seperti Perladangan (8.66 peratus), Barangan Industri (6.98 peratus) dan Pembinaan (4.59 peratus).

“Keadaan pasaran dijangka kekal mencabar dalam masa terdekat berikutan kesan kemelesetan global terhadap ekonomi domestik. Bagaimanapun, prospek di luar negara yang semakin baik, dorongan fiskal dalam negeri yang kukuh dan kewujudan kecairan yang tinggi dijangka merangsang prestasi pasaran pada setengah tahun kedua 2009,” kata Tan Sri Azlan.

Sementara itu, Instrumen Pasaran Wang mencatatkan pulangan sebanyak RM120.11 juta pada S1 2009, menurun daripada RM143.21 juta yang dicatatkan pada S4 2008. Hartanah menyumbang RM20.63 juta kepada pendapatan KWSP pada S1 2009, merosot berbanding RM51.32 juta pada S4 2008.

Saiz dana keseluruhan KWSP pada masa ini ialah RM348.16 bilion, meningkat 1.93 peratus daripada RM341.56 bilion pada S4 2008. Jumlah peruntukan pelaburan KWSP pada S1 2009 adalah seperti berikut:

Jenis Pelaburan RM Bilion Peratus
Sekuriti Kerajaan Malaysia 96.07 27.59%
Pinjaman dan Bon 143.86 41.32%
Ekuiti 90.22 25.91%
Instrumen Pasaran Wang 16.39 4.71%
Hartanah 1.62 0.47%
Jumlah 348.16 100%

“Ketidakpastian yang menyelubungi ekonomi global terus mempengaruhi pelaburan KWSP. Kami menjangkakan tahun ini merupakan tahun yang sukar bagi KWSP, tetapi sebagai pelabur jangka panjang KWSP akan mengambil kesempatan daripada peluang-peluang yang wujud pada masa yang mencabar ini,” kata Tan Sri Azlan.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.


SUMBER KWSP

UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
NAMA: Tan Sri Azlan Zainol
Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
TEL: 03 - 2616 6208
TARIKH SIARAN: 11 JUN 2009
DISIARKAN OLEH BERNAMA PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA

No comments: